Sunday, March 14, 2010

WANITA ITU . . .siri 1

Baru-baru ini aku terlibat secara tidak langsung dengan beberapa permasalahan wanita. Aku merasakan inilah pertama kalinya aku agak prihatin dengan isu wanita. Terdapat 2 golongan wanita yang menjadi perhatian aku. Pertama sekali pastinya perihal remaja wanita kini. Aku pun tidak pasti di mana anak-anak remaja wanita ini meletakkan maruah mereka. Di mana silapnya. Keluargakah? Sistem pendidikankah? Masyarakatkah? Lelakikah yang salah? Atau mungkin…aku yang salah barangkali. Terlalu lambat bertindak. Tapi apa yang aku dapat lakukan? Wahai anak-anak remaja yang bergelar wanita, apa sebenarnya yang anda mahu?

Tidak sayangkah kamu pada dirimu? Mudah sahaja kau serahkan mahkota berhargamu pada insan bernama lelaki yang tidak layak bagimu. Mudah sahaja kau biarkan lelaki yang tiada ikatan denganmu menyentuhimu. Mudah sahaja kau keluar berdua bersama lelaki ajnabi tanpa ada urusan penting sehingga mengetepikan mahrammu yang ada. Mudah sahaja kau menerima pelawaan lelaki untuk berjumpa dan berbual yang pastinya bukan perihal ummat apatah lagi hal agama yang dibincangkan. Apakah itu suatu kebanggaan buat kamu? Bangga pada sesuatu yang diletakkan pada tempat yang tidak sepatutnya? Adilkah kamu pada diri kamu sedangkan adil itu bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya. Heh..

Apa yang kamu mahukan sebenarnya wahai kaum hawa? Aku juga kaum hawa seperti kamu tetapi aku tidak tahu apa yang kamu mahukan sebenarnya dan sekarang aku mahu tahu. Adakah kamu merasa risau jika tidak menerima pelawaan mereka, maka tidak ada siapa lagi yang mahukan kamu? Tidak yakinkah kamu pada ALLAH yang telah menjanjikan lelaki yang baik untuk wanita yang baik dan sebaliknya dan jika tidak di dunia, pasti ada yang terbaik dijanjikan buatmu di akhirat kelak. Persoalanku, bukan sekadar kamu percaya atau tidak, tapi yakinkah kamu pada janji Tuhanmu? Yakinkah? Janji makhluk lemah yang bergelar lelaki pun kamu yakin sungguh-sungguh, mengapa tidak kamu yakin pada janji Tuhanmu yang maha Kuasa? Jika lelaki itu baik, mengapa tiada adabnya dia dalam berhubungan denganmu? Atau andai kau merasa putus asa dengan dunia, apakah kau lebih suka hidup dalam kehinaan dan semakin hina? Malukah kamu untuk mendekati orang-orang seperti aku? Kenapa? Gusar aku akan memandang hina kamu dan tidak dapat menerima kamu? Kamu salah..akulah yang dipandang hina oleh kamu dan kamulah yang tidak dapat menerima diri aku..

“Banyak tanggapan dibuat bahawa Islam agama berserah. Umat Islam adalah umat menyerah. Pergantungan kepada Tuhan yang tinggi menyebabkan pergantungan kepada nasib tanpa usaha. DOA UMAT ISLAM SELALUNYA PANJANG TETAPI IKHTIAR UMAT ISLAM LAZIMNYA PENDEK. Menerima sesuatu walaupun menyalahi agama dikatakan rezeki. Terjadinya sesuatu walaupun kerana kesalahan sendiri dikatakan takdir Allah. Umat Islam sering memilih menjadi tangan yang menerima lebih dari tangan yang memberi.”

“Sikap berserah kepada Allah tidaklah salah. Berserah tanpa usaha menjadikan umat kalah. Berserah bukan di awal usaha. Kalau tidak dipecahkan ruyung bagaimanakan dapat sagunya. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Usaha mendatangkan ikhtiar. Ikhtiar dengan jiwa tawakkal menjadikan manusia cekal. Cekal tanpa putus asa membolehkan manusia berjasa. Hujung kejayaan doa dipanjatkan. Antara usaha dan doa, Allah memakbulkan hati-hati yang ikhlas.”
-Jalur Berfikir Remaja Islam oleh Prof Dr Sidek Baba-

0 luahan: